“Rakyat mahukan kualiti hidup, bukan roti Gardenia,” demikian kata Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Al Hambra Juhar hari ini ketika mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) agar menunaikan amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab, integriti dan fokus terhadap kesejahteraan umum.
Beliau berkata mandat yang diterima pada pilihan raya lepas bukan hanya simbol sokongan rakyat, tetapi suatu tuntutan agar setiap wakil rakyat benar-benar bekerja keras memperbaiki taraf hidup masyarakat di kawasan masing-masing.
Menurut beliau, rakyat meletakkan harapan besar terhadap barisan Adun yang baharu dan penyandang kerana mereka memainkan peranan penting dalam menentukan arah pembangunan negeri.
“Rakyat menaruh harapan besar terhadap anda semua kerana andalah yang bertanggungjawab untuk mengangkat darjat rakyat di kawasan masing-masing. Ada mengatakan bahawa tidak semua orang boleh menjadi kaya, namun setiap daripada kita berhak untuk menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya sebelum memulakan persidangan DUN Sabah pada hari kedua perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 hari ini.
Al Hambra berkata keutamaan rakyat bukan sekadar janji politik, tetapi peningkatan nyata dalam akses perkhidmatan, peluang ekonomi dan kualiti hidup seharian.
“Maka laksanakanlah janji-janji yang telah ditabur, dan semoga anda menjadi seorang pemimpin yang penuh semangat serta berwawasan Yang Berhormat, dan paling penting menjadi Yang Berhormat yang bertanggungjawab. Maka dengan itu saya ucapkan selamat bertugas,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Adun yang telah menerima mandat rakyat, termasuk mereka yang kembali berkhidmat, sambil berharap agar Dewan terus menjadi platform untuk merangka dasar yang membawa manfaat kepada seluruh negeri.
- Bernama
