Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua koperal polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM3,000
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Dua anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini atas pertuduhan merima rasuah RM3,000 dua tahun lepas.

Mohamad Irwan Ason, 40, dan Mohd Effendy Mat Desa, 38, didakwa secara bersama ketika bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam menerima wang suapan itu daripada seorang lelaki agar tidak mengambil tindakan terhadap beberapa kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, memiliki air ketum dan memiliki rokok tidak bercukai.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir berhampiran Maybank Cawangan Taman Desa Damai, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah pada 20 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Azura Zulkiflee menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam A Chandra Segaran yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan yang minimum dengan alasan dua anak guamnya yang kini bekerja sebagai Koperal Polis Lokap Berpusat Bayan Baru mempunyai banyak tanggungan.

Mohamad Irwan mempunyai sembilan tanggungan iaitu isteri dan lapan anak manakala Mohd Effendy menanggung isteri yang sedang mengandung serta tiga anak selain turut menghidap masalah kencing manis serta darah tinggi.

Hakim Zulhazmi Abdullah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan seperti yang dipohon Timbalan Pendakwa Raya sebelum menetapkan 20 Jan 2026 untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS