Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan kekal keputusan haramkan vape
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Kerajaan tetap meneruskan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape dengan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenainya dijangka dibentang pada awal tahun hadapan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata MJM itu sedang dimuktamadkan untuk dibentangkan kepada jemaah menteri selepas ia tidak sempat dilakukan pada mesyuarat sebelum ini.

“Memang kita ke arah pengharaman, isu pokoknya ialah bila.

"Saya yakin seberapa segera seperti yang pernah saya katakan iaitu pada pertengahan 2026 atau selewatnya-lewatnya hujung tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Permai di Johor Bahru hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tiang Soon; dan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut.

Dzulkefly berkata kerajaan tetap meneruskan langkah berkenaan walaupun berdepan dengan pelbagai pandangan berikutan peningkatan kes kemudaratan kesihatan melibatkan penggunaan vape, termasuk cecair vape yang dicemari bahan terlarang seperti ganja sintetik.

Katanya jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari dan pakar perunding kesihatan awam Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman juga sedang giat melaksanakan kajian meliputi kesan dan implikasi perundangan terhadap masyarakat.

Sebelum ini, Dzulkefly dalam jawapan bertulis di Dewan Negara dilaporkan berkata pelaksanaan pengharaman vape akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS