Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beberapa pas perjalanan Rapid KL naik harga mulai 1 Jan 2026
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Harga beberapa pas perjalanan Rapid KL akan diselaraskan berkuat kuasa 1 Jan 2026, sesuai dengan perkembangan rangkaian pengangkutan awam serta bagi memastikan perkhidmatan yang lebih stabil dan mampan untuk jangka panjang.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelarasan itu merupakan yang pertama sejak 2009, mengambil kira peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan dari tahun ke tahun, di samping komitmen berterusan syarikat itu untuk memastikan piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan tawaran produk, Prasarana turut memperkenalkan Rapid Bulanan, iaitu pas 30 hari baharu yang menawarkan perjalanan tanpa had merangkumi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada harga RM150 untuk warganegara dan bukan warganegara Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Bagi pas Rapid Kota yang khusus untuk warganegara Malaysia, harga baharu ditetapkan pada RM10 bagi Pas Satu Hari dan RM25 bagi Pas Tiga Hari, manakala Pas 2 Hari tidak lagi ditawarkan.

Rapid Kembara pula akan dijual pada harga baharu RM25 bagi Pas Satu Hari dan RM55 bagi Pas Tiga Hari mulai tarikh sama, dengan Pas Dua Hari turut tidak lagi ditawarkan, manakala bagi Rapid Keluarga yang khusus untuk warganegara Malaysia, ditetapkan pada harga baharu, RM30.

Menurut Prasarana, diskaun kad konsesi Rapid Pelajar hanya terpakai kepada pelajar warganegara Malaysia, manakala bagi pengguna pelajar bukan warganegara dengan pas sedia ada, diskaun 50 peratus kekal sah sehingga pas tamat tempoh atau pada 31 Dis 2026, mengikut mana-mana yang lebih awal.

Selain itu, permohonan baharu Rapid Pelajar mulai 1 Jan 2026 adalah terhad kepada pelajar warganegara Malaysia sahaja.

“Prasarana turut menegaskan My50 serta kad konsesi Rapid Emas dan Rapid Mesra kekal tanpa sebarang perubahan harga, selaras dengan komitmen berterusan untuk memastikan pengangkutan awam yang mampu milik dan inklusif, khususnya kepada golongan yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.

Prasarana memaklumkan peningkatan permintaan terhadap pengangkutan awam, termasuk dalam kalangan ekspatriat dan pelawat jangka panjang, turut mendorong pengenalan Rapid Bulanan sebagai pilihan yang lebih fleksibel dan praktikal kepada pengguna harian perkhidmatan rel dan bas Rapid KL.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan Prasarana Ashok Panchalingam, berkata pelarasan harga itu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh terhadap corak penggunaan, peluasan rangkaian perkhidmatan serta kos operasi semasa.

“Walaupun pelarasan harga dilaksanakan, pas perjalanan Rapid KL kekal menawarkan nilai terbaik kepada pengguna harian melalui penjimatan yang konsisten, kemudahan perjalanan tanpa had serta pengalaman mobiliti yang terus dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, langkah itu sejajar dengan transformasi rangkaian rel dan bas Rapid KL yang kini jauh lebih komprehensif berbanding sedekad lalu, termasuk pembukaan Laluan Kajang pada 2016 dan Laluan Putrajaya pada 2022, selain penambahan laluan bas, peluasan liputan kawasan serta peningkatan kekerapan perkhidmatan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelarasan harga pas perjalanan, perincian produk serta informasi perjalanan, sila layari laman web rasmi: www.myrapid.com.my atau saluran media sosial rasmi Rapid KL.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS