Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lapan menteri, 10 timbalan tukar porfolio
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 6:34 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan pertukaran portfolio melibatkan lapan menteri dan 10 timbalan menteri.

Dalam rombakan itu, Hannah Yeoh, yang sebelum ini menerajui Kementerian Belia dan Sukan, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), manakala Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani diberi tanggungjawab baharu sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Turut ditukar portfolio ialah Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Dr Zulkifli Hasan yang sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dilantik sebagai Menteri di jabatan sama.

Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilantik sebagai Menteri Ekonomi, serta Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup kini menerajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Rombakan itu turut menyaksikan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, selain Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan menggantikan Sim sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu.

Dalam kalangan timbalan menteri pula, Liew Chin Tong, yang sebelum ini di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan, manakala Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Kementerian Sumber Manusia) bertukar ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebagai timbalan menteri.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin pula kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sementara Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni beralih ke Kementerian Luar bagi jawatan yang sama.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula disandang Lim Hui Ying, yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan, manakala Adam Adli Abd Halim dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berbanding sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Turut diumumkan, Datuk Hanifah Hajar Taib, yang sebelum ini Timbalan Menteri Ekonomi, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, manakala Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, kini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Selain itu, Datuk Seri Huang Tiong Sii, yang sebelum ini Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, serta Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan yang sebelum ini Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Berikut ialah senarai pertukaran portfolio:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan): Hannah Yeoh

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri: Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Steven Sim Chee Keong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama): Senator Dr Zulkifli Hasan

Menteri Ekonomi: Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam: Datuk Seri Arthur Joseph Kurup

Menteri Perladangan dan Komoditi: Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

Menteri Sumber Manusia: Datuk Seri R Ramanan

Timbalan Menteri Kewangan: Liew Chin Tong

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air: Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan: Datuk Chan Foong Hin

Timbalan Menteri Luar: Datuk Lukanisman Awang Sauni

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Lim Hui Ying

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi: Adam Adli Abd Halim

Timbalan Menteri Kesihatan: Datuk Hanifah Hajar Taib

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Datuk Mohamad Alamin

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi: Datuk Seri Huang Tiong Sii

Timbalan Menteri Sumber Manusia: Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS