Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemungkinan besar GRS tak bertanding di Lamag, Kinabatangan
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 9:14 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkinan besar tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang dijadual berlangsung pada 24 Jan tahun hadapan.

Pengerusinya, Hajiji Noor, berkata GRS secara prinsip memberikan laluan dan penghormatan terutama kepada BN sebagai parti yang menang di kawasan itu dalam pilihan raya negeri 29 Nov lalu.

“Kita (GRS) akan bagi penghormatan kepada parti yang menang. Kebetulan ia dalam kerajaan negeri sekarang ini.

“Kita akan beri laluan dan akan bantu mereka untuk memenangi pilihan raya kecil itu,” katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Ditanya apakah keputusan itu melibatkan kedua-dua kawasan terbabit, Hajiji yang juga ketua menteri berkata GRS akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi memuktamadkan perkara berkenaan.

Dia berkata hal itu termasuk mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi GRS, selain Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, tetapi tidak menyatakan bilakah perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan.

“Itulah yang kita mahu bincang. Tetapi prinsipnya kita akan bagi laluanlah,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan Pengerusi Umno Sabah Jafry Ariffin akan mengadakan rundingan dengan GRS berhubung PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Jafry berkata perbincangan itu penting memandangkan Umno adalah sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan Perpaduan Sabah bersama-sama dengan GRS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag akan diadakan pada 24 Jan depan, manakala penamaan calon jatuh pada 10 Jan. Pengundian awal pula ditetapkan pada 20 Jan.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin, pada 5 Dis lalu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS