Suspek dalam kejadian tembakan di Pantai Bondi, Sydney telah dikenakan 59 pertuduhan, termasuk berkaitan keganasan, menurut kenyataan Pasukan Polis New South Wales pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Susulan siasatan menyeluruh di bawah Operasi Arques, penyiasat Pasukan Petugas Bersama Anti-Keganasan (JCTT) hari ini (17 Disember) hadir ke sebuah hospital untuk mendakwa seorang lelaki berusia 24 tahun dari Bonnyrigg dengan 59 kesalahan, termasuk melakukan tindakan seorang pengganas,” kata polis dalam satu kenyataan.
Suspek turut berdepan 15 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh (mendatangkan kecederaan dengan niat membunuh), melepaskan tembakan, mempamerkan simbol organisasi pengganas yang dilarang di tempat awam, serta meletakkan bahan letupan di dalam atau berhampiran bangunan dengan niat untuk mendatangkan bahaya.
Pada Ahad, sekumpulan penyerang melepaskan tembakan ke arah orang ramai di Pantai Bondi, Sydney. Polis New South Wales mengenal pasti penyerang itu sebagai seorang bapa berusia 50 tahun dan anak lelakinya yang berusia 24 tahun.
Kejadian itu mengorbankan 16 orang, termasuk seorang daripada penyerang, manakala 40 yang lain cedera. Serangan itu didakwa berlaku semasa upacara penyalaan lilin Hanukkah yang dihadiri ramai penganut Yahudi.
Polis negeri kemudian memaklumkan bahawa pakar bom berjaya mematikan dua bahan letupan buatan sendiri (IED) yang ditemukan di lokasi kejadian.
- Bernama
