Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Adam Adli jangan lupa janji reformasi - mansuhkan Auku, PTPTN’
Diterbitkan:  Dec 18, 2025 4:09 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) menggesa Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu dilantik, Adam Adli Abdul Halim, supaya tidak melupakan tuntutan reformasi pendidikan tinggi yang pernah diperjuangkannya ketika aktif sebagai aktivis mahasiswa.

Dalam satu kenyataan, hari ini, Umany menegaskan Adam Adli perlu mengambil langkah tegas dalam kedudukannya di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta melaksanakn pendidikan tinggi percuma.

“Adam Adli merupakan tokoh penting aktivis mahasiswa. Sepanjang penglibatannya dalam aktivisme, beliau secara terbuka menentang Auku dan memperjuangkan sistem pendidikan tinggi yang lebih demokratik.

“Auku digubal untuk menyekat kebebasan dan autonomi mahasiswa. Sejarah membuktikan semasa Pilihan Raya Umum 1969, kelantangan suara mahasiswa memberi tekanan kepada kerajaan sehingga menyumbang kepada kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Susulan itu, kerajaan menggubal Auku pada tahun 1971 bertujuan mengehadkan penglibatan politik serta mengecilkan ruang autonomi mahasiswa,” kata Umany dalam satu hantaran di Facebook.

Selain isu Auku, Umany turut menekankan keperluan mendesak untuk melaksanakan pendidikan tinggi percuma dan memansuhkan sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang disifatkan sebagai agenda reformasi penting yang wajar diperjuangkan oleh Adam Adli.

“Menurut Perkara 26 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, pendidikan merupakan hak asasi setiap individu dan universiti tidak seharusnya menjadi kemewahan yang hanya mampu diakses oleh segelintir golongan.

“Kini, pendidikan tinggi semakin menjadi keperluan asas bagi majoriti generasi muda, latar belakang ekonomi keluarga tidak seharusnya dijadikan penghalang untuk memasuki universiti.

“Dengan yuran yang tinggi, sistem pinjaman pendidikan secara hakikatnya berfungsi sebagai mekanisme institusi yang menafikan hak pendidikan golongan yang miskin tegar,” kata Umany.

Sehubungan itu, persatuan tersebut menegaskan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma merupakan reformasi utama untuk menjamin keadilan pendidikan, memperluas mobiliti sosial, serta memastikan pembangunan negara dalam jangka panjang.

Kenyataan Umany itu dilihat sebagai peringatan terbuka kepada ketua Pemuda PKR itu agar jawatan dalam kerajaan tidak menjauhkan dirinya daripada prinsip dan tuntutan reformasi yang pernah menjadi teras perjuangan gerakan mahasiswa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS