Tiada larangan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam, namun ia tertakluk kepada syarat ditetapkan, termasuk tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata dekorasi, imej, hiasan dan ilustrasi yang berhubungan dengan perayaan selain Islam yang bersifat tidak kekal pada produk makanan, turut dibenarkan.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata penggunaan peralatan sembahan adalah tidak dibenarkan, manakala dekorasi serta hiasan premis juga tidak melibatkan paparan SPHM serta imej Logo Halal SPHM.
“Ia selaras dengan keputusan telah dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2023 bahawa tiada larangan terhadap pemegang SPHM untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam.
“Sehubungan dengan itu, keputusan ini adalah terpakai kepada isu dekorasi hiasan perayaan selain Islam di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai SPHM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata sifat saling menghormati kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia adalah sebahagian daripada identiti masyarakat majmuk di negara ini, justeru pihak industri digalakkan untuk terus mematuhi piawaian halal sedia ada tanpa mengetepikan aspek keharmonian kaum.
Dia berkata pihak hotel dan premis makanan yang memiliki SPHM juga dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa pensijilan halal berkaitan bagi mendapatkan penjelasan serta panduan tepat dari semasa ke semasa demi memastikan pematuhan berterusan kepada piawaian halal negara.
Menurut Zulkifli, kerjasama erat antara pihak berkuasa agama Islam negeri bersama Jakim serta pemain industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan garis panduan halal dilaksanakan secara berhemah, di samping sentiasa mengambil kira kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat keseluruhannya.
“Pendekatan itu juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Madani dalam memelihara kesucian pensijilan halal Malaysia, di samping memastikan keharmonian antara agama dan budaya terus diperkukuh,” katanya.
- Bernama
