Status MIC antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada tahun hadapan, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN itu bagaimanapun berkata, perbincangan berhubung perkara itu tidak termasuk dalam agenda Perhimpunan Agung Umno 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Jan depan.
“Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan agung, kerana status Umno dengan MIC sama saja dalam BN, kita akan adakan mesyuarat dewan tertinggi pada Jan tahun depan dan ketika itu kita akan putuskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pengumuman pakej lengkap Desa Kirana di Sekinchan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Bagaimanapun, Presiden MIC S A Vigneswaran berkata ketiga-tiga usul termasuk keluar dari BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti itu untuk diteliti.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno turut meminta perwakilan Sabah untuk turun membantu kempen PRK kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan tarikh yang bertindih dengan perhimpunan agung parti terbabit.
“Namun, jika mereka telah membeli tiket dan menempah bilik, kita tidak menghalang untuk mereka datang ke perhimpunan agung.
“Bagi mereka yang tidak dapat datang, kita akan siarkan secara dalam talian di semua 25 bahagian di Sabah.
“ … sekiranya mereka memutuskan untuk berkumpul di satu tempat, umpamanya di Ibu Pejabat Umno Sabah di Kota Kinabalu, langkah ini akan lebih memudahkan untuk mereka mengikuti persidangan agung pada tahun depan,” katanya.
Perhimpunan Agung Umno 2025 bakal berlangsung pada 14 hingga 17 Jan 2026, manakala hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag ditetapkan pada 24 Jan 2026.
Penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.
- Bernama
