Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan Madani perkukuh perlindungan sosial rakyat sepanjang 2025 - PM

Kerajaan MADANI telah memperkukuh perlindungan sosial rakyat sepanjang 2025, dengan mempertingkatkan bantuan tunai ke tahap tertinggi dalam sejarah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memperluas sokongan untuk keluarga serta memastikan tindakan pantas dan bantuan segera digerakkan setiap kali bencana melanda.

“Semua ini menggambarkan tekad MADANI untuk memastikan setiap isi rumah dibela tanpa ada yang tercicir dan terpinggir,” katanya dalam catatan di Facebook.

Menerusi infografik yang disertakan dalam hantaran itu, antara bantuan disediakan Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini termasuk peruntukan RM13 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Selain itu, kerajaan juga menyediakan SARA sebanyak RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas menggunakan MyKad yang mula ditebus pada 31 Ogos sehingga 31 Dis.

Bagi bantuan banjir, kerajaan antaranya menyalurkan sebanyak RM1,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk setiap keluarga terjejas, RM10 juta BWI kepada Sabah dan RM50 juta BWI bagi Kelantan dan Terengganu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS