Sebanyak 16,396 pemilik dan penunggang motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Motosikal yang dijalankan dalam tempoh 1 Jan 2025 hingga semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu Mohd Zamri Samion berkata tindakan itu diambil hasil pemeriksaan terhadap 81,107 motosikal yang dilaksanakan secara agresif dan berterusan di seluruh negeri terbabit.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 24,954 saman telah dikeluarkan, manakala 806 motosikal disita kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Antara kesalahan paling tinggi dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans serta lesen memandu kenderaan (LKM) tamat tempoh.
“Kesalahan teknikal pula membabitkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, pengubahsuaian kenderaan serta ketiadaan cermin sisi,” katanya ketika ditemui pada Ops Motosikal 2025 di Kuala Terengganu malam tadi.
Selain itu, Mohd Zamri berkata JPJ Terengganu turut mengeluarkan 5,803 notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 114 APJ 1987 kepada penunggang motosikal atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah.
Katanya JPJ Terengganu memandang serius kesalahan berkenaan dan akan mengambil tindakan lebih tegas pada masa akan datang bagi mengelakkan kejadian kemalangan serta kematian di jalan raya.
Sementara itu, Mohd Zamri berkata JPJ Terengganu turut mengeluarkan 193 saman terhadap kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Rentas Sempadan yang dijalankan dari 15 hingga 17 Dis lalu.
“Fokus utama operasi merangkumi pemeriksaan permit dan dokumen perjalanan, lesen memandu serta cukai jalan antarabangsa, selain pematuhan syarat teknikal kenderaan.
“Sebanyak 342 kenderaan telah diperiksa dan 90 daripadanya dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang atau APJ 1987,” katanya.
- Bernama
