Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PSM gesa polis siar SOP kamera badan
Diterbitkan:  Dec 23, 2025 10:09 AM
Dikemaskini: 2:09 AM

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, meminta pihak polis menyiarkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai penggunaan kamera badan, berikutan beberapa isu membabitkan tatakelakuan anggota polis.

Dia berkata langkah itu perlu memandangkan kamera badan telah diperkenalkan pada tahun 2024, namun persoalan utama berkaitan penggunaannya belum dijawab.

“Ini termasuk sama ada pegawai polis diwajibkan memakai kamera badan, sama ada terdapat pegawai yang dikecualikan, bagaimana rakaman boleh diakses apabila berlaku pertikaian, dan siapa yang memantau rakaman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam kes tembakan yang mengorbankan tiga individu di Durian Tunggal baru-baru ini, pihak polis boleh dengan mudah menunjukkan bukti tiada salah laku sekiranya mempunyai kamera badan.

Arutchelvan berkata terdapat keadaan di mana apabila mahu diperiksa, kamera litar tertutup (CCTV) dikatakan gagal berfungsi dan ini menimbulkan kebimbangan mengenai akauntabiliti dan ketelusan pihak berkuasa.

“PSM menggesa Ketua Polis Negara (KPN) untuk menyiarkan SOP ini. Idea penggunaan kamera badan sendiri pada mulanya dicadangkan untuk menyokong dakwaan polis mengenai isu yang dipertikaikan,” jelasnya.

Pada 18 Dis lalu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menyeru pihak polis menjelaskan mengapa tiada pegawai yang ditahan setakat ini berhubung kes tembakan di Durian Tunggal itu walaupun Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengklasifikasikannya semula sebagai kes bunuh.

Pada 24 Nov, polis menembak dan membunuh tiga lelaki, berumur antara 24 hingga 29 tahun, selepas salah seorang daripada mereka didakwa menyerang seorang pegawai polis dengan parang di sebuah ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhair Mukhtar, mempertahankan tindakan pasukannya dengan mendakwa insiden itu mencederakan seorang pegawai, namun peguam yang mewakili keluarga lelaki berkenaan menolak versi kejadian yang dikemukakan polis.

Pada Mei tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan pelaksanaan kamera badan di kalangan anggota keselamatan, hampir lima tahun selepas idea itu dicadangkan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS