Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahfiz perlu daftar untuk mudah pantau, dapat bantuan - Zulkifli

Semua sekolah tahfiz dinasihatkan mendaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi memudahkan pemantauan dan penyaluran bantuan.

Menteri Di Jabatan Perdana menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, ia susulan berlaku beberapa insiden membabitkan pelajar dan warden institusi berkenaan, termasuk isu buli dan penderaan.

"Sebenarnya kita kena mengambil kira dimensi secara menyeluruh bahawa kes sebegini bukan hanya berlaku di maahad tahfiz, berlaku juga di tempat lain.

"Cuma dalam konteks ini, apa yang kita perlu kita lakukan adalah cuba mengatasi masalah ini secara menyeluruh.

"Jadi, kita di peringkat jabatan agama, kita minta semua tahfiz mendaftar supaya memudahkan pemantauan dan juga penyaluran bantuan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ringkas dan melihat kesan banjir di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) dekat Kuantan, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Unipsas, Prof Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Ditanya mengenai cadangan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di maahad tahfiz pula, Zulkifli memberitahu, perkara itu sudah dijawabnya dalam parlimen baru-baru ini.

"Kita kena tengok perkara ini secara menyeluruh... dalam hal berkaitan isu (yang timbul), kita serahkan kepada undang-undang," katanya.

Semalam, polis Kedah mengesahkan kejadian memaparkan seorang pelajar tahfiz dirotan seorang lelaki yang tular di media sosial baru-baru ini, berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, dekat Kulim pada Sept lalu.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, kejadian yang berlaku pada 29 Sept itu melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun.

Zulkifli dalam masa yang sama memaklumkan, langkah kerajaan melancarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia - yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan - adalah antara usaha berterusan dalam memantapkan lagi ekosistem pusat tahfiz di negara ini.

"Ia akan menjadi piawaian kepada seluruh maahad tahfiz di seluruh Malaysia, sebagai maahad tahfiz yang patuh kepada standard tersebut.

"Jadi kita lihat isu ini (isu berbangkit di maahad tahfiz) perlu ditangani dengan kaca mata yang lebih luas, supaya kita dapat menguruskan sebaik mungkin," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS