Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda DAP S'gor kecam demo Umno kutuk Yeo
Diterbitkan:  Dec 24, 2025 11:59 AM
Dikemaskini: 4:10 AM

Pemuda DAP Selangor mengkritik rakan sejawat mereka daripada Umno atas tindakan yang didakwa sebagai “politik murahan” susulan penganjuran protes berupa 'sambutan akhir tahun' di hadapan Pusat Khidmat Parlimen Puchong.

Bantahan Pemuda Umno itu susulan kontroversi kenyataan ringkas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin yang memuji keputusan mahkamah menolak permohonan Najib Razak untuk tahanan rumah.

Pemuda DAP Selangor berkata bantahan itu tidak membawa sebarang manfaat kepada orang ramai serta mencerminkan tingkah laku politik tidak matang.

“Budaya berhimpun beramai-ramai semata-mata untuk mencipta provokasi dan sensasi bukanlah politik matang. Ia sebaliknya memperlihatkan kegagalan untuk berhujah secara intelektual dan berfakta,” kata mereka.

Pemuda DAP Selangor turut mengaitkan tindakan berkenaan dengan gaya kepimpinan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh..

"Corak politik sebegini juga selari dengan gaya kepimpinan Dr Akmal Saleh, yang dilihat lebih gemar mencetuskan gimik dan emosi awam berbanding menawarkan solusi sebenar terhadap isu rakyat," kata sayap parti itu.

Semalam, sekumpulan pemimpin Pemuda Umno Selangor bersama kira-kira 100 penyokong mengadakan 'sambutan' akhir tahun di luar Pusat Khidmat Ahli Parlimen Puchong bagi menyindir kenyataan Yeo terhadap bekas presiden Umno itu.

Kumpulan itu, diketuai Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Thamrin menyasarkan kenyataan Yeo terhadap keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Najib.

Imran berkata Yeo sepatutnya “meraikan” keputusan bersalah muktamad terhadap bekas Adun Tronoh Paul Yong dan kumpulan itu kemudian menaikkan sepanduk memaparkan kronologi peristiwa yang berakhir dengan keputusan pada 1 Okt yang menolak rayuan terakhirnya dalam kes rogol melibatkan pembantu rumahnya pada 2019.

Sementara itu, sayap DAP Selangor juga menggesa Pemuda Umno negeri itu bermuhasabah apabila menganggap satu komen atau kenyataan dianggap terlalu sensitif sehingga memerlukan tekanan fizikal dan demonstrasi.

“Apabila Najib Razak dipenjarakan (pada 2022), terdapat ribuan reaksi dan hantaran media sosial, termasuk yang bersifat sinikal dan malah meraikan keputusan itu.

“Adakah semua individu tersebut juga perlu menjadi sasaran gimik politik dan tekanan awam,” soal Pemuda DAP negeri itu.

Ketika protes semalam, pemimpin dan penyokong Pemuda Umno Selangor mengangkat karikatur wajah Yeo yang dicetak dengan perkataan “Biadap” yang dieja salah, manakala seorang lelaki berpakaian seragam banduan hitam-putih dan memakai topeng Joker dikatakan mewakili Yong.

Sambil menegaskan politik tidak wajar digerakkan melalui intimidasi, provokasi atau demonstrasi terpilih, Pemuda DAP Selangor mengulangi solidariti mereka bersama Yeo, menentang apa yang disifatkan sebagai “teater politik” dan gimik.

Beberapa pemimpin daripada Umno, PKR dan DAP sebelum ini mengecam kenyataan Yeo, yang turut mencetuskan gesaan supaya BN menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan bahawa titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan yang memberikan Najib tahanan rumah tidak sah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS