Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Lelaki ambil dadah bersama Ravi ditahan
Diterbitkan:  Dec 25, 2025 1:00 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Seorang lelaki yang mendakwa mengambil dadah bersama aktivis dan bekas peguam Singapura, M Ravi, beberapa jam sebelum Ravi disahkan meninggal dunia, telah ditahan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), menurut laporan Channel News Asia (CNA).

CNA memetik kenyataan pihak polis Singapura bahawa Pasukan Pertahanan Awam republik itu telah menerima laporan kes kecemasan di sebuah pangsapuri sekitar jam 5.40 pagi hari Rabu.

Pasukan paramedik hadir ke lokasi dan memberi rawatan kepada Ravi, 56, yang ditemui tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Tan Tock Seng, di mana dia kemudian disahkan meninggal dunia.

Menurut laporan itu, seorang lagi individu yang dikenali sebagai “A” berada di pangsapuri tersebut dan memberitahu pegawai bahawa dia dan Ravi telah mengambil dadah beberapa jam sebelum itu.

CNA melaporkan bahawa polis turut menyatakan bahawa “A” mendedahkan Ravi mula menunjukkan simptom membimbangkan selepas mengambil dadah, dan dia telah melakukan CPR.

“A” juga mendakwa bahawa dadah tersebut miliknya.

Dilaporkan semalam bahawa polis telah memulakan siasatan berhubung kes itu, sementara punca kematian akan ditentukan selepas bedah siasat.

Ravi pernah mewakili rakyat Malaysia yang dihukum mati di Singapura kerana pengedaran dadah, termasuk K Datchinamurthy, 39.

Datchinamurthy dihukum gantung pada 25 September kerana menyeludup 44.96g diamorphine ke republik itu.

Ravi menerima pengiktirafan antarabangsa pada 2023 apabila memenangi anugerah “sumbangan cemerlang oleh pengamal undang-undang terhadap hak asasi manusia” daripada Persatuan Bar Antarabangsa (International Bar Association).

Ravi, yang didiagnosis dengan gangguan bipolar pada 2006, bagaimanapun digugurkan daripada senarai peguam pada 2024 kerana tindakannya yang tidak wajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS