Persatuan Perniagaan India Malaysia (Miba) menyarankan supaya diwujudkan kuota bagi kakitangan dari kalangan kaum India dalam perkhidmatan awam.

Presidennya, P Sivakumar berkata, langkah itu akan membantu menangani masalah kekurangan bilangan kakitangan dari kalangan masyarakat India dalam perkhidmatan tersebut.

Beliau juga menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya bersikap lebih proaktif dalam pengambilan kakitangan bukan Melayu.

"Masyarakat India telah hilang keyakinan dan harapan terhadap perkhidmatan awam. Ini telah mengakibatkan berlakunya kekurangan serius bilangan kaum India yang memohon jawatan dalam kerajaan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Sivakumar menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPA, Datuk Ismail Adam awal minggu bahawa kaum bukan Melayu tidak berminat memohon jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, kata presiden Miba itu, kenyataan seumpama itu tidak boleh diterima.

Semai keyakinan baru

Sivakumar berkata, JPA perlu menyemai keyakinan baru dalam pengambilan kakitangan baru bagi menyediakan sebuah tenaga kerja yang pelbagai kaum.

“Siarkan iklan jawatan kosong di akhbar pelbagai bahasa dan lamanweb popular serta menyediakan maklumat mengenai jawatan kosong kepada parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional, adalah antara cadangan yang telah disuarakan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat pada masa yang lalu," tambahnya.

Sivakumar berkata, wujud keperluan yang serius untuk mengambil dan melatih kaum India sebagai ketua jururawat, kerani, pengurus, guru sekolah rendah dan menengah, juruteknik dalam kerajaan dan majlis tempatan bagi meningkatkan jumlah kakitangan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam.

“Bila sahaja ada jawatan kosong dalam kerajaan diiklankan, hujahnya ialah lebih ramai orang Melayu yang memohonnya.

“Ini adalah perkara biasa dan boleh dijangkakan kerana berbanding dengan rakyat Malaysia dari kaum Melayu, masyarakat India adalah berjumlah sekitar 2.2 juta," katanya.

Oleh itu, tambahnya, permohonan dari kaum India hanya boleh dilindungi dengan mewujudkan kuota untuk mereka dalam perkhidmatan awam.

Kakitangan bukan Melayu

Menurut Sivakumar lagi, walaupun Miba menyokong sistem meritokrasi, tetapi kekurangan yang serius bilangan kakitangan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, menyebabkan persatuannya tiada pilihan kecuali menggesa supaya diwujudkan kuota tersebut.

“Walaupun ini mungkin dilihat seperti melangkah kebelakangan, tetapi malangnya, sistem kuota amat diperlukan sehinggalah perkhidmatan awam mencerminkan representasi Malaysia sebenarnya," tambah beliau.

Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan satu lamanweb bebas untuk menyediakan pangkalan data mengenai perkhidmatan awam.

Di samping itu, beliau juga menggesa kreajaan supaya mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh kakitangan awam dari kalangan bukan Melayu sekarang.

Katanya, kerajaan perlu menangani masalah mereka serta mengenai peluang kenaikan pangkat.

Samy Vellu bingung

Dalam satu perkembangan berkaitan, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Ismail mengenai peluang pekerjaan dan kenaikan pangkat untuk bukan Melayu, terutama kaum India, dalam sektor perkhidmatan awam.

Beliau bingung mengapa sebuah akhbar melaporkan bahawa bukan Melayu, terutama kaum India, tidak berminat bekerja dengan kerajaan.

“Saya terkejut dengan laporan tersebut. Saya ingin tahu perangkaan terbaru, selepas itu saya boleh menyediakan laporan kepada kabinet, perdana menteri dan timbalan perdana menteri," katanya dalam laporan akhbar the Star.

Beliau diminta mengulas laporan yang menyatakan, daripada sejumlah 486,802 permohonan untuk jawatan dalam perkhidmatan awam, hanya masing-masing 1.78% dan 2.55% dari kaum Cina dan India.

Laporan itu memetik Ismail sebagai berkata, keadaan itu sukar untuk berubah walaupun JPA telah berusaha untuk mengurangkan jurang antara kaum dalam sektor awam.

Ketua Pengarah JPA itu berkata, kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi ketika mengambil kakitangan baru, termasuk mereka di peringkat pentadbiran dan diplomatik. Berita asal