Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abu Bakar akan rombak barisan Exco, jamin seimbang antara Bersatu dan PAS

Menteri Besar Perlis yang baharu Abu Bakar Hamzah bertekad untuk mengekalkan persefahaman dalam kalangan barisan Adun PN di negeri itu yang terdiri daripada PAS dan Bersatu.

Adun Kuala Perlis itu juga menyambut baik titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu semua Adun PN di negeri itu kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu parti demi kepentingan negeri dan rakyat.

"Tidak timbul isu sama ada PAS atau Bersatu lebih atau kurang baik. Apa yang penting saya ajak semua kakitangan awam negeri dan rakyat mendoakan agar Perlis setanding pembangunannya dengan negeri lain.

"Dari segi politik kita akan kekal dalam pasukan PN. PAS dan Bersatu adalah sebuah keluarga, apa juga perbalahan akan diselesaikan dalam masa terdekat dan saya amat berharap hubungan PN kekal baik hingga habis penggal," katanya.

Abu Bakar bercakap kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis baharu di Bilik Hijau, Istana Arau hari ini.

Abu Bakar berkata dia juga akan meneruskan dasar serta hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan Perlis terus menerima bantuan sewajarnya bagi memajukan negeri itu.

Mengenai barisan exco kerajaan negeri, dia berkata pihaknya akan melakukan sedikit rombakan dan akan memastikan agihan portfolio adalah seimbang antara Adun PAS dan Bersatu.

"Selepas selesai beberapa perkara akan diadakan rombakan Exco dan kita akan seimbangkan sebab PN adalah gabungan PAS dan Bersatu dan insya-Allah akan letakkan kesamarataan.

"Saya juga menjunjung kasih kepada Tuanku kerana memberi kepercayaan dan tanggungjawab yang besar kepada saya untuk menerajui kepimpinan kerajaan Perlis dan saya yakin adanya kawan-kawan (dalam pentadbiran negeri) dapat membantu meningkatkan pembangunan di Perlis," katanya.

Abu Bakar turut menyatakan penghargaan kepada bekas menteri besar Perlis Mohd Shukri Ramli atas jasanya menerajui Perlis selama tiga tahun sebelum meletakkan jawatan secara rasmi pada 25 Dis lepas atas faktor kesihatan.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS