Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kenyataan Naib Ketua Pemuda Gerakan S Paranjothy bahawa Umno adalah punca kaum India terpinggir di negara ini adalah tidak berasas dan telah melanggar disiplin Barisan Nasional.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti Gerakan untuk tindakan sewajarnya terhadap Paranjothy.

"Saya percaya parti Gerakan tahu apa yang harus mereka lakukan, sebab dalam kita menghadapi tekanan pihak tertentu, kita tidak boleh berpecah sebagai satu keluarga politik...keluarga politik kita ialah Barisan Nasional," katanya.

Najib memberitahu pemberita demikian selepas melawat bilik gerakan banjir Umno Taman Selasih, di Paloh Hinai, dekat Pekan hari ini, demikian menurut Bernama.

Ditanya sama ada kenyataan itu menjejaskan hubungan antara Umno dan Gerakan, Najib berkata: "Kita anggap ini pendapat peribadi dan bukan pendirian parti Gerakan."

Dalam kenyataannya itu, S Paranjothy (kanan) menuduh Umno mengapi-apikan sentiman perkauman bagi mengekalkan populariti parti itu di kalangan masyarakat Melayu.

Ambil tindakan

Beliau turut mengkritik kerajaan kerana "meminggir, menindas dan tidak memperdulikan" masyarakat India sehingga menjadikan mereka 'rakyat kelas empat'.

Berikutan itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) mahu pucuk pimpinan parti Gerakan memberi penjelasan terhadap kenyataan berunsur perkauman yang dibuat oleh naib ketua Pemuda Gerakan itu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran juga dilaporkan berkata pihaknya akan membuat sesuatu keputusan mengenai perhubungan dengan parti komponen itu sekiranya penjelasan parti Gerakan tidak memuaskan.

Dalam jawapannya, pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (kanan) berkata parti itu telah memulakan tindakan tatatertib terhadap Paranjothy ekoran kenyataannya itu yang disifatkan boleh menyinggung perasaan masyarakat majmuk di negara ini serta membelakangkan semangat berpasukan BN.

Bagaimanapun, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kecewa dengan Ketua Pemuda, Datuk Hishammuddin Hussein bahawa pergerakan itu akan memutuskan hubungan dengan Gerakan sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai kenyataan Paranjothy.