Notis pemakluman rasmi kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping, Bintong dan Guar Sanji diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan berkata notis berkenaan diserahkan di Pejabat SPR Perlis di Kangar kira-kira 12 tengah hari.
Beliau berkata dalam notis itu, pihaknya turut memaklumkan SPR mengenai alasan keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di ketiga-tiga DUN berkenaan untuk pertimbangan suruhanjaya tersebut.
“Saya menyerahkan semuanya kepada pertimbangan pihak SPR,” katanya kepada pemberita di Kangar hari ini.
Pada sidang media 25 Dis lepas, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN itu susulan keahlian ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim dalam PAS terhenti serta-merta, selaras Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Rus’sele berkata walaupun usia DUN Perlis telah genap tiga tahun pada 18 Dis lalu, kerajaan negeri berpandangan terdapat keperluan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan ketiga-tiga kerusi itu demi kestabilan kerajaan negeri.
Pada 24 Dis lalu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media memaklumkan keahlian tiga ADUN itu terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi DUN di Perlis, terdiri daripada sembilan kerusi PAS dan lima Bersatu, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi satu kerusi menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Indera Kayangan.
- Bernama
