Minggu pertama bertugas sebagai Menteri Besar Perlis menyaksikan Abu Bakar Hamzah menerima kunjungan hormat daripada Kelab Tarik Tali negeri itu semalam.
Menerusi hantaran Facebook, Pejabat Menteri Besar Perlis berkongsikan gambar pertemuan berkenaan, memperlihatkan suasana mesra antara Abu Bakar dengan wakil kelab terbabit yang berbadan 'sado'.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah yang dibincangkan antara mereka, atau mungkinkah Perlis bakal menganjurkan acara tarik tali terbesar tidak lama lagi?
Pertemuan yang berlangsung kira-kira jam 3.30 petang itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada yang berseloroh, namun tidak kurang juga yang mengambil sikap terlalu serius dengan pertemuan berkenaan.
"Akan menyusul lepas ni. Dam aji, dam ulaq, lari dalam guni, congkak, batu seremban, tuju kasuit, toi, zero point," tulis seorang pengguna Facebook menyebut nama-nama permainan tradisional.

"Patutnya awal-awal jadi MB ni ketua-ketua jabatan, ketua-ketua GLC negeri dan lain-lain datang jumpa buat laporan dan masuk page rasmi ni.
“Tapi ni mmmmm, lepas ni kelab memancing, kelab basikal, kelab catur pulak jumpa (dengan MB)," kata seorang lagi.
"Kelab tarik Adun," sindir seorang lagi, merujuk kepada kemelut politik yang melanda Perlis baru-baru ini.
Abu Bakar, 57, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 28 Disember lalu.
Dia yang merupakan Timbalan Pengerusi PN Perlis dan juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis memenangi kerusi DUN Kuala Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 154 undi.
Pelantikannya sebagai menteri besar dibuat berikutan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli yang juga Adun Sanglang pada 25 Dis.
