Setiap pihak mempunyai peranan penting untuk menjaga sensitiviti dan mengelakkan polemik yang tidak perlu, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Munim Abdul Munim, sempena konvensyen khas Pemuda Umno yang bermula hari ini.
Kamil berkata konvensyen khas berkenaan wajar dijadikan ruang yang "matang dan bermakna" bagi generasi muda menyumbang idea serta pandangan yang membina demi masa depan negara.
“Dalam realiti Malaysia yang majmuk, kestabilan dan keharmonian hanya dapat dipelihara melalui kebijaksanaan, kesederhanaan dan rasa tanggungjawab bersama.
"Setiap pihak mempunyai peranan penting untuk menjaga sensitiviti, mengelakkan polemik yang tidak perlu, serta memastikan setiap pandangan yang disuarakan bersifat membina dan berpaksikan kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pemuda Umno yang diketuai Akmal Saleh hari ini menganjurkan konvensyen khas bagi membincang, meneliti serta membuat keputusan mengenai hala tuju parti itu khususnya berkaitan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.
Konvensyen yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu diadakan di tengah-tengah rasa tidak puas hati Umno berhubung keputusan bersalah terhadap bekas presiden Umno, Najib Razak dalam kes 1MDB baru-baru ini.
Dalam pada itu, Kamil menegaskan bahawa perbezaan pandangan adalah lumrah dan perlu diurus dengan semangat saling menghormati, memahami dan menyantuni antara satu sama lain.
"Walaupun berlainan latar belakang dan bangsa, kita tetap dengan satu tujuan yang sama; memelihara keharmonian dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang
Seiring dengan aspirasi Kerajaan Madani, Kamil menekankan bahawa adalah wajar bagi semua pihak terus mengamalkan pendekatan berhemah, memperkukuh kerjasama, serta memelihara keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.
“Dengan komitmen bersama, insya-Allah kestabilan politik dan kemajuan Malaysia akan dapat terus dikekalkan.
"Semoga segala perbincangan yang berlangsung membawa kebaikan dan manfaat buat negara tercinta,” katanya.
