Umno Perlis akan mewujudkan wakil masyarakat di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlaku kekosongan luar jangka dalam usaha memastikan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan terus terbela.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan rakyat di kawasan Guar Sanji di bawah Parlimen Arau, Bintong (Kangar) dan Chuping (Padang Besar) berasa terpinggir atau seolah-olah tidak mempunyai wakil yang boleh membantu menyelesaikan permasalahan mereka.
Beliau berkata Umno tetap memainkan peranan sebagai wakil kepada masyarakat meskipun tidak mempunyai kerusi di negeri berkenaan.
“Sebagai ketua komuniti, itu yang kami lakukan di peringkat kampung, di peringkat DUN dan juga di peringkat negeri... kami menyentuh setiap pelosok kawasan dan rakyat tanpa rasa penat dan lelah.

“Cuma untuk ketiga-tiga kawasan ini, memandangkan tak ada wakil rakyat, kami akan bagi lebih spesifik untuk kami pastikan rakyat lebih terbela dan membantu mereka sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bilangan 1/2026 Badan Perhubungan Umno Perlis di Kangar hari ini.
Pada 25 Dis lepas, Speaker DUN Perlis Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN berkenaan selepas keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji bagaimanapun kekal kosong sehingga pilihan raya umum akan datang berikutan Rus'sele mengumumkan penarikan balik pemakluman keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka di tiga DUN itu.
Dalam pada itu, Rozabil berkata Umno Perlis akan mengadakan program Jelajah DUN di kesemua 15 DUN di negeri itu sebagai langkah awal persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata jelajah itu antara lain memfokuskan kepada pemerkasaan jentera parti di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM), pengukuhan kesiapsiagaan di ketiga-tiga Parlimen serta pemantapan hubungan Umno dengan rakyat di peringkat akar umbi.
“Insya-Allah kami akan adakan finale secara besar-besaran, akan panggil pimpinan (Umno) Pusat untuk turun hadir selepas kami selesaikan jelajah di kesemua 15 DUN,” katanya.
- Bernama
