Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes bunuh CEO Cradle Fund: Isteri, dua anak kekal bebas

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua anak lelakinya berhubung kes pembunuhan CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan, pada 2018.

Peguam Samirah, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dia mengesahkan panel hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais, bersama hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan memutuskan tiada kesilapan yang boleh dirayu dalam keputusan pembebasan ketiga-tiga tertuduh.

“Selepas meneliti alasan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, kami mendapati tiada kesilapan oleh mahkamah dalam pembebasan pihak responden.

“Berdasarkan hujah lisan dan bertulis kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan), kami mendapati tiada kes prima facie dibuktikan.

“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan niat bersama yang boleh menyebabkan kematian mangsa,” kata Abu Bakar seperti dipetik The Star.

Nazrin Hassan

Samirah dan dua remaja tersebut, bersama seorang wanita Indonesia yang pernah menjadi pembantu rumah mereka, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 45, di kediamannya di Mutiara Damansara, Selangor, antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga empat pagi keesokannya.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 14 Februari 2022 selepas memanggil 57 saksi. Perbicaraan kes bermula pada 6 September 2019.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi membebaskan mereka daripada pertuduhan tersebut dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 2024.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS