Kerajaan tidak akan membebankan rakyat dengan mengurangkan kuota BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berdasarkan kelas pendapatan bagi mengelakkan tekanan tambahan terhadap perbelanjaan isi rumah.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata keutamaan kerajaan ketika ini ialah menganalisis data yang dikumpul sejak pelaksanaan program BUDI95 bagi menilai keberkesanannya.
"Kita perlu menganalisis data terlebih dahulu bagi mengenal pasti sebarang penggunaan luar biasa yang berpotensi sebelum mempertimbangkan perubahan terhadap parameter.
"Ia merupakan satu perubahan yang besar buat negara, justeru kami tidak ingin melakukan terlalu banyak pelarasan dalam tempoh jangka pendek,"” katanya semasa sesi sembang santai bertajuk Balancing growth, fiscal and the global pada Hari Korporat Tahunan Malaysia ke-18 anjuran CGS International di Kuala Lumpur, hari ini.
Bagi kuota 300 liter BUDI95, beliau berkata data kerajaan menunjukkan purata penggunaan kira-kira 83 liter sebulan, dan 90 peratus penerima menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.
Mengulas lanjut, Johan Mahmood berkata kerajaan buat masa ini tidak akan melaksanakan program subsidi yang lebih bersasar mengikut kelas pendapatan meskipun terdapat cadangan untuk mekanisme lebih tepat.
"Kita perlu menumpukan usaha untuk menghapuskan kebocoran terlebih dahulu sama ada daripada pengguna warga asing atau syarikat yang mengunakan bahan api bersubsidi, dan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan BUDI95, daripada terlibat dalam perdebatan panjang.
"Sama ada kita perlu mewujudkan mekanisme berperingkat, contohnya individu berpendapatan melebihi RM20,000 tidak lagi menerima manfaat ini, perkara itu tidak dibincangkan buat masa ini, " katanya.
- Bernama
