Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkat tindakan penguatkuasaan terhadap semua kenderaan perdagangan di seluruh negara yang ingkar kepada peraturan dan undang-undang jalan raya menerusi Operasi Lebih Muatan tahun ini.
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata sepanjang tahun lalu agensi itu memeriksa 1.2 juta kenderaan dengan 240,493 daripadanya diambil tindakan manakala 465 disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Katanya jumlah itu adalah peningkatan 35.5 peratus berbanding 829,392 kenderaan diperiksa pada 2024.
“Sebanyak 126,974 kenderaan diambil tindakan manakala 69 disita,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Lebih Muatan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara malam tadi.
Dia berkata antara kesalahan tertinggi yang direkodkan pada 2025 ialah gagal mematuhi notis arahan pemeriksaan berkala, tiada lesen vokasional, tidak menyelenggara tayar dengan baik dan tiada lesen memandu kompeten (CDL).
“Fokus operasi kali ini ialah terhadap kenderaan yang melanggar had muatan dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan-peraturan berkaitan, penguatkuasaan teknikal serta pematuhan penggunaan Sistem Had Laju (SLD).
“Ia bertujuan memastikan kenderaan perdagangan beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan dan tidak membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.
Aedy Fadly menambah pelaksanaan Operasi Lebih Muatan turut disokong Audit JISA (Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan dan JPJ) bagi menilai tahap pematuhan keselamatan, integriti operasi serta pengurusan risiko dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan.
“JPJ menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.
“Tindakan penguatkuasaan di bawah Operasi Lebih Muatan akan terus diperkasa secara berterusan demi keselamatan jalan raya, kesejahteraan orang awam dan kelestarian sistem pengangkutan negara,” katanya.
Ditanya mengenai aspek pematuhan dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan, dia berkata, ia semakin meningkat susulan peningkatan operasi yang dijalankan JPJ.
Operasi lebih tiga jam yang bermula pada 10 malam itu menyaksikan 258 kenderaan diperiksa dengan 88 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan lebih muatan.
- Bernama
