Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam utus surat terkait komen pada kes Shamsul Iskandar

Pihak pembelaan Shamsul Iskandar Mohd Akin sudah menghantar surat rasmi kepada kerajaan berhubung beberapa komen awam yang dilihat berpotensi menjejaskan keadilan perbicaraan kes yang sedang dihadapinya.

Menurut peguam bekas setiausaha politik kanan perdana menteri itu, Yusmadi Yusof, surat tersebut bertujuan menarik perhatian kerajaan terhadap kenyataan tertentu yang pada pandangan mereka membawa implikasi terhadap kes yang masih di peringkat pengurusan di mahkamah.

“Kami hanya mahu kes ini diadili di mahkamah berdasarkan undang-undang dan keterangan yang relevan, bukan melalui ruang awam yang menimbulkan spekulasi serta prejudis,” katanya kepada media selepas prosiding pengurusan kes pagi tadi di Mahkamah Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan peguam terbabit memaklumkan bahawa mereka belum menerima dokumen yang sepatutnya daripada pihak pendakwaan kerana ia sedang diproses serta disaring.

Seorang lagi peguam Shamsul Iskandar, Amer Hamzah Arshad, berkata pihaknya sebelum ini mengharapkan dokumen berkenaan dapat diserahkan dengan segera.

Pun begitu, katanya, mereka tetap bersedia menerima dokumen berkenaan secara berperingkat-peringkat bagi membolehkan pasukan pembelaan mengkaji bahan bukti serta senarai saksi.

Shamsul Iskandar (tengah) diapit dua peguamnya, Yusmadi (kanan) dan Amer Hamzah

Selepas meneliti dokumen tersebut, menuru Amer Hamzah, pihak pembelaan tidak menolak kemungkinan memfailkan representasi lanjut, termasuk memohon untuk memindahkan kes ke mahkamah tinggi.

“Kami telah memaklumkan kepada mahkamah dan pihak pendakwaan bahawa selepas mengkaji keseluruhan pertuduhan, kami bercadang memfailkan satu permohonan untuk memindahkan kes ini ke mahkamah tinggi,” katanya.

Berikutan perkembangan itu, kedua-dua pihak bersetuju menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Pada masa sama, Amer Hamzah berkata, pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dibicarakan bersama dengan satu lagi kes berkaitan yang telah didaftarkan di Mahkamah Kuala Lumpur.

Dia menjelaskan, pasukan pembelaan berharap semua pihak menghormati proses undang-undang dan mengelakkan sebarang komen awam yang boleh mempengaruhi persepsi terhadap kes tersebut.

“Jika terdapat bukti, kemukakan di mahkamah, bukan melalui media,” katanya.

Menurut Amer Hamzah, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya, termasuk memohon campur tangan mahkamah, sekiranya kenyataan-kenyataan sedemikian berterusan muncul dan menjejaskan Shamsil Iskandar mendapat perbicaraan yang adil.

Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Pada 4 Dis lalu atas empat pertuduhan menerima rasuah RM176,830 daripada ahli perniagaan, Albert Tei.

Dia dituduh menerima wang suapan dalam kapasitinya sebagai setiausaha politik Anwar pada masa itu untuk membantu syarikat Tei mendapatkan lesen pelombongan mineral di Sabah.

Tei turut didakwa di mahkamah atas kesalahan menawarkan rasuah tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS