Seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Perintah itu dikeluarkan oleh majistret Ezrene Zakariah yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, ketiga-tiga individu terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira jam 10 pagi selepas ditahan di Ibu Pejabat SPRM petang semalam.

Mereka yang memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan bergari kemudian dibawa memasuki kompleks mahkamah oleh pegawai SPRM.
Sementara itu, peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili bekas PTD berkenaan berkata anak guamnya belum benar-benar sihat dan dalam proses pemulihan.
"Kami memberi ruang untuk pihak SPRM melakukan siasatan, dan kami juga memohon kepada mahkamah agar beliau mendapat akses kepada peguam semasa siasatan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas proses reman itu selesai.
Semalam, bekas PTD terbabit bersama kedua-dua isterinya ditahan pada 7 malam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Pada 23 Dis lalu pegawai SPRM hadir di Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Pada Selasa, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM.
- Bernama
