Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Parti yeye’: Moral bukan lagi hal peribadi bila libatkan keselamatan negara - PAS

Soal moral tidak lagi menjadi hal peribadi apabila ia melibatkan individu yang diamanahkan menjaga keselamatan negara, tegas PAS susulan kontroversi dakwaan aktiviti tidak bermoral di kem tentera.

Kenyataan itu susulan video tular yang mendakwa pegawai tentera melanggan khidmat peneman wanita, dan orang luar dikatakan dibawa masuk ke dalam kem untuk acara yang digelar “parti yeye”.

Antara video yang tular didakwa dirakam di dewan mes pegawai dalam pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di Selangor.

Mengulas dakwaan tersebut, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menegaskan soal moral dan disiplin profesional tidak lagi boleh dianggap sebagai urusan peribadi apabila ia melibatkan pihak yang dipertanggungjawabkan dengan keselamatan negara.

Dia berpandangan keselamatan negara boleh terjejas akibat penganjuran acara sedemikian, yang berisiko membawa kepada kemasukan ‘perisik’ asing tanpa disedari.

“Disiplin, integriti peribadi dan kesedaran keselamatan adalah elemen penting dalam pertahanan negara.

“Dalam persekitaran keselamatan masa kini, kecuaian pertimbangan dan profesionalisme boleh mendedahkan anggota dan institusi kepada eksploitasi, tekanan atau pengaruh luar,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, katanya lagi, andaian tidak boleh dibuat tanpa disertakan bukti, dan sebarang isu melibatkan angkatan tentera perlu dilihat sebagai “perkara serius” yang menuntut tindakan bertanggungjawab melalui saluran institusi yang betul berdasarkan fakta.

Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai keselamatan, menggesa sebarang siasatan yang dijalankan dilaksanakan secara tegas dan profesional.

Katanya, ia perlu disertai dengan usaha memperkukuh disiplin dan kesedaran keselamatan dalam angkatan tentera bagi melindungi integriti institusi dan keselamatan negara.

Awal minggu ini, Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan aktiviti tidak bermoral di dalam kem-kemnya

"Mindef menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan,” kata kementerian itu.

Terdahulu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa “parti yeye” terus membelenggu angkatan tentera walaupun ia telah diharamkan sejak 1985.

Menurutnya, sejak Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) ditubuhkan pada 1985, terdapat banyak penambahbaikan terhadap keadaan serta nilai umum anggota Muslim dalam perkhidmatan.

Namun, sumber itu mengakui budaya ‘yeye’ masih wujud hingga hari ini, dan sukar ditangani oleh Kagat jika aktiviti tersebut melibatkan pegawai berpangkat tinggi.

Malaysiakini juga sebelum ini mendedahkan bekas isteri seorang kapten tentera mendakwa perkahwinannya runtuh dalam tempoh kurang dua tahun akibat konflik berkaitan dengan tabiat berparti liar dalam kalangan pegawai tentera.

Wanita yang merahsiakan identitinya itu mendakwa walaupun pegawai atasan kem dikatakan mengetahui mengenai penganjuran tersebut, mereka didakwa tidak mengambil tindakan, meskipun dia telah cuba melalui saluran yang betul dengan melaporkan masalah itu melalui rantaian pentadbiran. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS