Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Parti yeye’: Tentera akan tingkat penguatkuasaan, pendidikan moral
Diterbitkan:  Jan 9, 2026 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Tentera Darat Malaysia (TDM) mengumumkan langkah yang akan diambil bagi menangani skandal “parti yeye” dalam kalangan anggota tentera, susulan pendedahan yang mengundang perhatian ramai.

TDM menegaskan pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan salah laku warganya, sama ada pegawai atau anggota, yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan itu.

TDM berkata, siasatan dalaman terhadap aduan yang diterima dan tindakan tegas terhadap pelaku akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan dan undang-undang sedia ada jika terbukti bersalah.

“Memandang ke hadapan, TDM akan mengadakan penguatkuasaan berterusan melalui pemerintah di semua pasukan, formasi dan pusat latihan agar memberi peringatan dari semasa ke semasa serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi membendung sebarang isu integriti dan aktiviti tidak bermoral di kalangan warganya.

“Sebagai langkah preventif, TDM juga akan melaksanakan pemerkasaan pendidikan moral, kesedaran integriti dan etika di semua peringkat formasi selain mempergiatkan aktiviti keagamaan dan kerohanian bagi memupuk nilai profesional serta jati diri warga yang berdisiplin dan berintegriti,” kata TDM dalam kenyataan, hari ini.

Susulan penularan satu video di media sosial minggu lalu, angkatan tentera menerima kecaman selepas didakwa menganjurkan parti melibatkan minuman beralkohol dan peneman wanita di dalam kem tentera, yang digelar sebagai “parti yeye”.

Sebahagian netizen turut mendakwa pegawai berpangkat rendah dipaksa menyediakan minuman beralkohol dan membawa masuk wanita dari luar kem bagi memenuhi kehendak pegawai atasan.

Susulan itu, Kementerian Pertahanan telah mengarahkan satu siasatan dijalankan terhadap dakwaan-dakwaan tersebut.

Dalam kenyataan dikeluarkan bahagian perhubungan awamnya, TDM menyuarakan komitmen untuk memastikan institusi itu terus diyakini, dihormati dan disokong oleh rakyat melalui amalan integriti, profesionalisme yang tinggi demi keselamatan dan kedaulatan negara.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS