Bersatu Indera Mahkota hari ini melahirkan rasa kesal mereka terhadap keputusan lembaga disiplin parti terbabit yang dianggap memutuskan pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah tanpa melalui perbicaraan yang adil.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Bersatu Indera Mahkota Mat Zahid Abu Hassan berharap badan berkenaan dapat mempertimbangkan rayuan yang bakal dikemukakan Saifuddin secara adil, telus dan berhemah demi keutuhan parti.
Mat Zahid yang juga timbalan ketua Bersatu bahagian itu berkata pendirian mereka diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat yang diadakan semalam.
“(Jawatankuasa ini) menyatakan solidariti bersama Datuk Saifuddin Abdullah dan menyatakan sokongan berterusan kepada kepimpinan beliau,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.
Pada Selasa lalu Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada) Malaysia Harris Idaham Rashid dilaporkan berkata Bersatu telah memecat Saifuddin berkuat kuasa pada 6 Jan.
Harris Idaham dilaporkan berkata Saifuddin melanggar klausa 9.1.4 perlembagaan parti, namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.
- Bernama
