Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan tiga penjuru di antara calon BN, Warisan dan bebas, manakala bagi DUN Lamag melibatkan satu lawan satu di antara BN dan Warisan.
Perkara itu diumumkan pegawai pengurus pilihan raya, Eddy Syaizul Rizam Abdullah, di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan hari ini.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas penamaan daripada tiga orang calon bagi kerusi parlimen P187 Kinabatangan dan dua calon bagi kerusi DUN N58 Lamag.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai, saya berpuas hati memutuskan tiada kertas penamaan yang ditolak,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan di antara Mohd Naim Kurniawan Moktar mewakili BN, Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (bebas).
Bagi PRK di DUN Lamag pula, dua calon yang bersaing ialah Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi tadi dan proses mengemukakan borang pencalonan berlangsung selama satu jam.
Mohd Kurniawan Naim, 32; merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.06 pagi, diikuti Saddi, 67, (9.18 pagi); dan Goldam, 40, (9.31 pagi).
Mohd Ismail, 44, pula merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan bagi PRK DUN Lamag, iaitu pada jam 9.04 pagi, dikuti Mazliwati, 53, pada 9.07 pagi.
Proses penamaan calon menurut SPR berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lalu.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam pada 23 Jan ini.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag adalah sebanyak 48,722 orang merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis serta pasangan sebagai pengundi awal.
Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi kedua-dua PRK berkenaan ialah di Dewan Sri Lamag.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan dengan satu saluran, akan digunakan.
Menurut SPR kesemua pusat mengundi akan dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang, kecuali 20 pusat mengundi di tiga DUN iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau yang ditutup seawal jam 12 tengah hari hingga 4 petang.
SPR menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan.
- Bernama
