Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menasihati penganjur program ‘Glamping With Pride’, yang dijadual pada 17 dan 18 Januari ini di Hulu Langat, Selangor, agar membatalkannya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata Islam menegah sebarang program yang dikaitkan dengan unsur Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT).
"Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menasihati pihak penganjur agar membatalkan atau menghentikan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur promosi budaya songsang.
"Bahkan, setiap individu dan golongan yang terlibat dalam program maksiat seperti ini perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman yang berat setimpal dengan kejelekan maksiat yang dilakukan tersebut.
"Namun jika ada dalam kalangan yang terlibat ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan mereka tersebut, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada fitrah," katanya dalam tulisan Tinta Mufti yang disiarkan hari ini.
Semalam, polis menyatakan telah menerima lima laporan berkaitan iklan program tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata laporan berkenaan mendakwa program itu berpotensi menimbulkan masalah sosial dan melanggar tatasusila.
Sebelum itu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata polis telah diarahkan untuk memantau dan menyiasat acara tersebut jika berlaku sebarang unsur yang melanggar undang-undang.
Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz berkata, penganjuran program yang cuba menyuntik unsur tersebut dalam aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping jelas dilarang kerana ia merupakan satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka.
"Dari perspektif Maqasid Syariah, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dalam syariat Islam.
"Ini kerana pensyariatan pernikahan antara pasangan berlainan jantina bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia secara sah, di samping mencegah mafsadah (kerosakan) yang terhasil daripada perbuatan zina dan hubungan sejenis," katanya lagi.
