Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump arah negara berniaga dengan Iran dikenakan tarif 25 peratus
Diterbitkan:  Jan 13, 2026 10:33 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

GLOBAL | Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan Washington akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas “mana-mana dan semua” negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

“Berkuat kuasa serta-merta, mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Republik Islam Iran akan membayar tarif 25 peratus bagi mana-mana dan semua urus niaga dengan AS,” kata Trump dalam kenyataan menerusi platform Truth Social.

“Perintah ini adalah muktamad dan konklusif,” tambahnya

Butiran tambahan mengenai duti import itu belum diperincikan setakat ini.

Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk menyerang Iran sekiranya pihak berkuasa negara itu menggunakan kekerasan sehingga mengakibatkan kematian bagi menyuraikan protes yang telah merebak ke seluruh negara.

Namun kenyataan terbarunya itu dibuat hanya beberapa jam selepas Rumah Putih memaklumkan bahawa dia “berminat” untuk meneroka pendekatan diplomasi dengan Tehran.

Anadolu melaporkan jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt sebagai berkata Trump “tidak gentar” untuk melaksanakan ancamannya menggunakan kekuatan ketenteraan terhadap sasaran di Iran sekiranya penunjuk perasaan diserang oleh pasukan keselamatan.

Namun, katanya, pilihan utama Trump ialah menjalinkan diplomasi dengan Tehran.

Terdahulu pada hari yang sama, protes diadakan di beberapa kawasan di Iran bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan ketika demonstrasi antikerajaan memasuki hari ke-16 susulan keadaan ekonomi yang semakin bertambah buruk di negara itu.

Di Tehran, orang ramai berkumpul di Dataran Enghelab, sebuah kawasan tumpuan utama berhampiran Universiti Tehran, sambil mengibarkan bendera Iran dan “mengecam keganasan baru-baru ini” di tempat awam, menurut seorang wartawan Anadolu.

Penunjuk perasaan turut menggesa kerajaan menangani rungutan ekonomi sambil menolak apa yang mereka sifatkan sebagai “campur tangan asing” dalam urusan dalaman Iran.

Perhimpunan serupa turut dilaporkan berlaku di bandar-bandar lain, termasuk Kerman, Zahedan dan Birjand di timur Iran.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS