Pemuda PAS semalam menzahirkan harapan mereka untuk melihat PN yang ‘baru’ selepas struktur organisasi gabungan itu berjaya dibentuk di peringkat Pahang beberapa hari lalu.
Dalam hantaran di media sosialnya, Ketua Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menyatakan langkah tersebut sepatutnya boleh berjalan dengan baik jika tidak ada mana-mana pihak “yang buat kacau.”
Mengiringi hantaran tersebut dengan tangkap layar laporan berita Harakahdaily berkenaan penyusunan semula PN Pahang, Afnan Hamimi turut menegaskan bahawa itulah sebab mengapa mesyuarat parti tersebut perlu diadakan.
“Apabila tak ada yang buat kacau, elok dan tenang sahaja.
“Inilah tujuan dipanggil mesyuarat. Untuk dibincangkan dan disepakatkan,” katanya.
PN sedang berdepan dengan isu jawatan pengerusi selepas penyandang, Muhyiddin Yassin, melepaskan kedudukannya ekoran krisis yang melanda mereka terkait politik Perlis pada Dis lalu.
Ia menyaksikan Adun Sanglang merangkap anggota Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik, Mohd Shukri Ramli, terpaksa melepaskan jawatan sebagai menteri besar. Dia ketika itu tidak mendapat lagi keyakinan majoriti anggota DUN Perlis.
Daripada lapan Adun yang menandatangani perakuan berkanun (SD) bagi menyatakan rasa tidak percaya kepada Mohd Shukri, tiga adalah dari PAS.
Jawatan utama PN Pahang
Mereka ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
PAS kemudian memberhentikan keanggotaan ketiga-tiga Adun terbabit.
Krisis itu menyaksikan kemarahan PAS termasuk Afnan Hamimi sendiri yang menggunakan istilah “berambus” kepada pihak yang dianggap menjadi “pengkhanat".
PAS juga secara terbuka menyatakan kesediaan mengepalai PN daripada Muhyiddin. Bekas perdana menteri itu kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi berkuat kuasa pada 1 Jan lalu.
Namun peletakan jawatan itu perlu disahkan Majlis Tertinggi (MT) PN sesuai dengan perlembagaan parti terbabit. Setakat ini MT belum bermesyuarat dan mendorong Presiden PAS Abdul Hadi Awang menulis surat mendesak agar PN mengadakan ia diadakan segera.

Untuk rekod PN Pahang kini diketuai Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala timbalannya disandang Pengerusi Bersatu Pahang, Abdul Khalib Abdullah; Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, dan Ranndy Yap (Gerakan).
Setiausaha pula disandang Adun Beserah – juga dari PAS – Andansura Rabu dan Adun Kuala Sentul (Bersatu) Jasri Jamaludin menjadi bendahari.
PAS juga mengisi jawatan ketua penerangan, pengarah pilihan raya, dan ketua wanita. Bersatu pula diberi kepercayaan mengetuai Pemuda PN Pahang.
Untuk barisan ahli jawatankuasa pula, PAS, Bersatu dan Gerakan masing-masing diwakili oleh tiga pemimpin.
Bagi kawasan parlimen – yang berjumlah 14 semuanya – PAS menjadi ketua di lapan bahagian berbanding lima untuk Bersatu dan satu Gerakan.
“Tahniah PN Pahang,” tulis Afnan Hamimi lagi, “Next PN Pusat pula.”
