Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim paling layak jadi PM, pengerusi PN , kata menantu Hadi
Diterbitkan:  Jan 14, 2026 12:08 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Seorang pemimpin akar umbi terkenal PAS Zaharudin Muhammad berpandangan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man calon paling layak untuk diangkat sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri jika parti itu menerajui negara.

Yang dipertua PAS Sungai Buloh itu berkata walaupun keputusan mengenai jawatan tertinggi gabungan itu tertakluk kepada rundingan Majlis Tertinggi (MT) PN, namun terdapat kriteria yang meletakkan Tuan Ibrahim sebagai pilihan utama jika keputusan terletak di tangan PAS.

“Dari segi ranking parti, iaitu beliau sebagai timbalan presiden. Dari segi pengalaman, beliau pernah berada di kabinet Malaysia sebagai menteri Kasa (Kementerian Alam Sekitar dan Air),” katanya yang juga menantu kepada presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Beliau adalah ulama. Walaupun ia datang nombor tiga tetapi syarat ketiga ini paling utama, iaitu mesti ulama atau lebih tepat mesti faqih kerana syarat ini hukum yang sebut secara ijmak mazhab.”

Tuan Ibrahim Tuan Man

Katanya keputusan yang dibuat mempunyai kaitan dengan hukum isytirak siyasi (perkongsian politik) dalam Islam.

Dia bagaimanapun mengakui bahawa perkara itu terpulang kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN.

Tuan Ibrahim semalam berkata PAS belum memutuskan calon daripada parti itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu.

Tuan Ibrahim juga menafikan mereka mencalonkan naib presidennya, Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menteri besar Terengganu.

Terdahulu anggota Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu, Rahim Thamby Chik mendakwa PAS mencalonkan Samsuri namun pelantikan itu hanya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat PN akan datang.

Rahim bagaimanapun kemudian meminda hantaran berkenaan dengan menggugurkan semua butiran mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Bersatu.

Muhyiddin juga sebelum ini berkata dia belum menerima sebarang nama daripada PAS untuk jawatan pengerusi PN.

Ada Jebon 2.0?

Sementara itu, Zaharudin turut menyentuh mengenai perdebatan akademik berkaitan keperluan pemimpin negara daripada kalangan ulama.

“Lagi pula dah berbuih mulut bahas benda ni waktu lawan Jebon 1.0 dulu. 

Bila saya baca dua komen yang kata tak perlu ulama dengan alasan-alasannya, segar kembali ingatan waktu Jebon 1.0 dulu sampai tertanya-tanya, adakan wujud Jebon 2.0?

Jebon merujuk kepada satu kumpulan dalam PAS yang disingkirkan dari parti pada 2015.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN pada 30 Disember selepas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu Perlis menggulingkan menteri besar daripada PAS Mohd Shukri Ramli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS