Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengunduran Muhyiddin: Alhamdulillah keputusan yang baik, kata PAS
Diterbitkan:  Jan 13, 2026 9:58 AM
Dikemaskini: 1:59 AM

PAS menyambut baik keputusan Bersatu menerima peletakan jawatan presiden mereka, Muhyiddin Yassin, daripada tugasnya memimpin PN.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata keputusan tersebut - yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi - adalah “cukup baik” demi membolehkan PN “bergerak ke hadapan.”

Dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas sekali lagi menyatakan harapan agar PAS diberi ruang pula untuk membawa gabungan PN berdepan dengan PRU akan datang.

“Alhamdulillah satu keputusan yang cukup baik dari mesyuarat MPT Bersatu yang menerima dengan terbuka hasrat Tan Sri Muhyiddin untuk berundur daripada posisi Pengerusi PN.

“PN insya-Allah akan bergerak ke hadapan.

“Berikan PAS peluang untuk mengemudi teraju PN menghadapi PRU ke-16. Kita bangkit mara ke Putrajaya,” katanya.

Kenyataan Ahmad Fadhli itu menyusul selepas media melaporkan bahawa MPT Bersatu menghormati dan menerima peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN.

Peletakan jawatan itu dinyatakan Muhyiddin pada hujung Dis lalu dan melalui surat yang dikeluarkan, ia berkuat kuasa pada 1 Jan ini.

Bagaimanapun mengikut Perlembagaan PN, peletakan jawatan itu mesti disahkan oleh majlis tertinggi (MT) parti gabungan itu dalam mesyuarat.

Setakat ini belum dapat dipastikan bila MT PN akan mengadakan mesyuarat tersebut walaupun Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sudah menulis kepada badan berkenaan.

Dia menggesa agar MT PN mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin serta membincangkan pengganti bekas perdana menteri terbabit.

Surat itu turut dipaparkan secara terbuka oleh Abdul Hadi dan PAS melalui media sosial.

Setakat ini Muhyiddin dan Abdul Hadi mengesahkan tiada sebarang nama dikemukakan kepada PN untuk dipertimbangkan sebagai pengerusi baru mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS