Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim gesa campur tangan menteri isu pertuduhan ringan pada 'perogol'
Diterbitkan:  Jan 14, 2026 1:15 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said supaya campur tangan dalam isu “pertuduhan lebih ringan” membabitkan seorang mangsa serangan seksual, Loh Wai Mun.

Langkah itu susulan tindakan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mengurangkan pertuduhan rogol terhadap penyerang wanita berkenaan kepada pertuduhan mencabul kehormatan tanpa pengetahuan mangsa.

"Kerajaan mempunyai kewajipan berkanun dan kewajiban moral untuk menyediakan hak asasi kepada wanita di Malaysia untuk selamat, berasa selamat dan menghukum seberat-beratnya mereka yang mengancam atau menyerang mereka.

"Atas sebab itu, mangsa serangan seksual ini bukan sahaja berhak mendapat simpati dan belas kasihan sepenuhnya, tetapi yang lebih penting, hak untuk mengetahui dan penjelasan penuh bagi kesakitan, ketakutan dan trauma yang dia dan keluarganya tempuhi," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Azalina Othman Said

Lim yang juga penasihat DAP berkata Peguam Negara, Dusuki Mokhtar sehingga kini masih belum memberikan maklum balas terhadap surat yang dihantar Loh pada 9 Januari.

Dalam surat berkenaan, Loh menyatakan bahawa pengurangan pertuduhan itu tidak mencerminkan fakta sebenar kes atau tahap penderitaan serta trauma yang dialaminya.

Penyerang terbabit pada asalnya didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, namun mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 354 bagi serangan dengan niat mencabul kehormatan.

Pertuduhan lebih ringan dibuat selepas AGC menerima surat representasi yang dikemukakan tertuduh, yang kemudiannya hanya dikenakan hukuman denda RM10,000.

Lim mengakui bahawa bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara mempunyai budi bicara mutlak untuk memulakan atau menghentikan sebarang prosiding.

Namun dia menegaskan penjelasan tetap diperlukan memandangkan mangsa berani tampil secara terbuka menuntut keadilan.

"Sangat menyedihkan, menyayat hati dan tragis apabila mendengar rintihan Loh bahawa 'pengendalian kes ini menyebabkan saya berasa tidak dilindungi, tidak selamat, tidak didengari dan dipinggirkan'," tambah Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS