Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantuan boleh ditarik balik jika pemohon kemuka maklumat salah - MOF

Kerajaan berhak menarik balik sebarang bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan setiap permohonan STR melalui pelbagai proses semakan dan verifikasi dengan agensi berkaitan bagi menyemak kelayakan pemohon.

Menurut MOF, semakan berkala turut diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak rekod pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara pemohon.

"Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil. Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular dalam media sosial dakwaan seorang individu layak untuk menerima bantuan STR, meskipun hasil sewaan enam rumah miliknya menjadikan pendapatannya melebihi nilai ambang kelayakan.

Dalam pada itu, MOF dalam kenyataan sama memaklumkan peruntukan keseluruhan untuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, menjadikannya jumlah peruntukan tertinggi dalam sejarah kerajaan Persekutuan.

Menurut MOF, peruntukan berjumlah besar itu susulan penyusunan semula pemberian STR dan Sara sebagai inisiatif kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat secara lebih berkesan.

Sara menyediakan bantuan asas berterusan kepada rakyat dengan lapan juta individu, termasuk 400,000 golongan miskin dan miskin tegar layak menerimanya secara bulanan.

STR pula diberi sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih.

"Pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberikan ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan," menurut kenyataan itu.

MOF turut memaklumkan bahawa sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk STR fasa satu tahun ini, yang akan mula disalurkan pada Selasa depan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS