Paling Popular
Terkini
1

PAU 2025 |  Di sebalik kekeruhan hubungan yang pernah terlihat di antara kedua-dua mereka, ada peristiwa menarik sebelum kelibat Khairy Jamaluddin muncul dalam persidangan Umno hari ini.

Bercakap kepada media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Khary berkata, dia bertemu dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semasa majlis tahlil diadakan di bangunan ibu pejabat parti terbabit.

Bersama salaman itu, kata Khairy, dia bertanya - sekali gus meminta kebenaran - kepada Ahmad Zahid untuk hadir pada hari ini.

"Saya kata (kepada Ahmad Zahid): Kalau Datuk Seri tak nak saya datang, saya takkan datang. Saya cuma akan datang kalau Datuk Seri izin saya datang," katanya yang ditemui pada persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno hari ini.

Menurut Khairy, Ahmad Zahid kemudian menjawab: "Please come."

Kemunculan bekas menteri dan Ketua Pemuda Umno Malaysia itu menarik perhatian ramai kerana dia memang disebut-sebut bakal menyertai parti berkenaan.

Namanya juga pernah dikaitkan dengan jawatan menteri menjelang rombakan kabinet yang dilakukan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Dari Rembau ke Sungai Buloh

Pertembungan Khairy dengan Ahmad Zahid bermula secara terbuka sejak pemilihan Umno pada 2018. Ketika itu Khairy mencabar Ahmad Zahid untuk jawatan presiden.

Dalam pertandingan tersebut Ahmad Zahid memperoleh 93 undi berbanding Khairy 51 undi. Seorang lagi calon ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang mendapat 23 undi.

Mendepani PRU ke-15, hubungan kedua-dua mereka semakin tegang apabila Khairy mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid dan pengurusan parti. Dia turut mendakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak mempunyai “moral legitimacy” sebagai Presiden Umno.

Untuk rekod, dalam PRU tersebut BN mencalonkan sekali lagi Khairy untuk bertanding tetapi dia 'dipindahkan' dari kerusi parlimen Rembau - yang dianggap selamat - ke Sungai Buloh yang menjadi kubu kuat PH.

Khairy kemudian dipecat 28 Jan 2023 atas alasan melanggar disiplin parti.

Mengenai kehadirannya di WTC hari ini, Khairy berkata ia adalah pengalaman yang sangat beremosi.

"Saya dapat 'pulang' ke perhimpunan parti saya. Insya-Allah, benda-benda baiklah selepas ini," katanya.

Pun begitu dia tidak memberikan sebarang bayangan mengenai langkah lanjut politiknya bersama Umno ketika Ahmad Zahid sendiri memberi bayangan bahawa hubungan yang terputus boleh disambung semula.

"One step at a time... one step at a time, insya-Allah.

"Hari ini saya kembali sebagai pemerhati dan insya-Allah selepas ini kita akan buat apa yang perlu," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan bersama ahli Kelab Pelajar Luar Negara Umno, berkata kehadiran Khairy ke Perhimpunan Agung Pemuda hari ini adalah atas jemputan ketua sayap itu, Dr Akmal Salleh.

“(Khairy datang) Kerana Akmal menjemputnya sebagai mantan ketua pemuda, dan kebetulan Khairy bertemu saya malam tadi. Dia telah meminta restu daripada saya dan saya mempersetujuinya,” katanya.

Ketika diminta mengesahkan kemungkinan untuk Khairy kembali kepada Umno, Zahid berkata keputusan itu bergantung kepada permohonan yang dikemukakan, yang setakat ini masih belum diterima.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS