Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal letak jawatan: Apa sangat ada di Melaka, kata Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Jan 16, 2026 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Menyambut baik peletakan jawatan exco Melaka Dr Akmal Saleh, PAS bagaimanapun beranggapan langkah itu tidak memadai dan tidak akan memberi impak besar.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan bahkan menganggap Ketua Pemuda Umno Malaysia itu perlu mengambil tindakan yang lebih jelas.

Bagi Tuan Ibrahim, perlu ada tindakan susulan khususnya di peringkat nasional.

"Sepatutnya diterjemah di peringkat pusat, (sebab) apa sangatlah ada di Melaka.

"Kalau Akmal boleh tunjukkan dia punya komitmen untuk menentang sebarang tindakan yang melampau pihak DAP khususnya, sepatutnya ia diterima di peringkat pusat.

"Saya nak lihat sejauh mana (Umno) pusat juga mengambil tindakan yang sama , tidak lagi kompromi dengan benda-benda yang menimbulkan polemik," katanya dalam perkongsian video di Facebook, hari ini.

Sebelum itu Tuan Ibrahim hadir dan berucap sempena program Malam Cinta Gaza di Kota Bharu, Kelantan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan jika Umno benar-benar sebuah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan lain-lain, ia tidak boleh hanya membenarkan tindakan bantahan dibuat di peringkat negeri.

Dia berkata demikian sebagai mengulas pengumuman peletakan jawatan Akmal sebagai exco Melaka ketika berucap pada Perhimpunan Pemuda Umno di Kuala Lumpur semalam.

Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan Melaka itu menegaskan tindakan itu diambil bagi membolehkan dia “menentang DAP habis-habisan” dan akan berkuat kuasa pada minggu depan.

Bagaimanapun peletakan jawatan itu hanya akan berkuat kuasa jika Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, menerimanya.

Tuan Ibrahim berkata, selain tindakan seperti Akmal di peringkat pusat, Umno juga perlu menterjemahkan perkara itu di negeri-negeri sebagai komitmen bersama parti terbabit.

"Sepatutnya di peringkat persekutuan dan negeri-negeri lain seperti Perak, Pahang, Selangor dan sebagainya, kita melihat perlu diterjemahkan sebagai satu komitmen bersama.

"Saya ucap tahniah pada Akmal kerana sikapnya, cuma tindakan begitu tidak akan ada kesan besar kalau tidak didukung oleh tindakan (susulan) selain daripada itu.

"Kalau dia sekadar letak jawatan sebagai exco, apa impaknya pada parti Umno khususnya.

"(Walaupun) itu hak peribadi beliau, tapi saya lihat mesti ada impak sebagai tanda komitmen pada apa yang diperjuangkan oleh Pemuda Umno," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS