Paling Popular
Terkini

PAU 2025 | Perwakilan Pemuda Umno menyuarakan kebimbangan mengenai kewujudan “si kitol”dalam parti, dengan mendakwa sesetengah ahli menerima arahan daripada ‘nakhoda’ lain.

Helmi Elias berkata perkara itu merupakan penyakit baru iaitu ada pihak dalam parti yang gemar menjadi jurucakap kepada parti lain.

Mengibaratkan Umno sebagai sebuah bahtera, dia menegaskan bahawa sebagai anak kapal, Pemuda hanya akan mendengar arahan daripada seorang nahkoda, iaitu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya ibaratkan pelayaran kita ini di dalam sebuah bahtera yang sedang belayar merentas lautan bergelora. Bagi kami Pemuda Umno Malaysia, nahkoda kami hanyalah ayahanda presiden.

"Kami belayar dengan nahkoda tersebut dan hanya mendengar cakap nahkoda ini.

“Sebagai anak kapal, ketika kapal hendak karam atau bocor, semestinya kami maklumkan kapal ini sedang bocor, kapal ini sedang karam, takkanlah kapal tengah karam kami tepuk tangan, duduk 'yak yak ye'," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan secara spesifik pihak yang dimaksudkan sebagai 'si kitol', yang membawa maksud pengkhianat parti itu.

Tambah Helmi, apa yang mendukacitakannya ialah wujud pihak dalam parti yang mendengar arahan daripada nahkoda (pemimpin) parti lain.

"Yang mendukacitakan kami hari ini ayahanda presiden, ada di kalangan kita walaupun berada dalam bahtera bersama dengan kita, tetapi sedang mendengar mandat dari nahkoda kapal sebelah kita, ini yang mendukacitakan kita.

"Mana mungkin belayar bersama dalam bahtera ini, kita boleh mendengar cakap nahkoda kapal yang lain, jangan ada si kitol di dalam parti kita ini.

"Saya ulang jangan ada si kitol dalam parti kita ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS