Paling Popular
Terkini

PAU 2025 | Seorang perwakilan Umno Perak memuji sayap pemuda parti itu dan ketuanya, Dr Akmal Saleh, kerana berani menentang “sikap biadab” sesetengah pihak.

Dalam ucapannya, Azhar Ahmad berkata, Pemuda Umno telah melakukan perkara yang betul apabila menegur mereka yang bersikap biadap.

Dia merujuk kepada insiden ketika Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Yeo Bee Yin, meraikan keputusan mahkamah menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menjalani tahanan rumah.

"Pemuda dah main peranan dah.

"Mana boleh tuan-tuan dan puan-puan, rumah kita ada kematian, sebelah rumah tu buat dangdut, boleh tak? Tak boleh.

"Sedang kita berduka dengan bekas presiden kita yang dihukum sebegitu rupa," kata Azhar ketika membahaskan ucapan dasar presiden Umno pagi ini.

Ketua Bahagian Umno Beruas itu berkata, tiada sesiapa lagi boleh diharapkan dalam Umno jika tiada pemimpin pemuda berani seperti Akmal.

Dia turut menasihati Akmal, yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai exco Melaka, untuk terus mempertahankan prinsipnya.

"Kalau Pemuda tidak ada seberani Akmal ni, siapa lagi kita harapkan.

"Pemuda sifatnya begitu. Kepada Akmal satu saja saya nak pesan, kalau berjuang bersilat, jangan bersilat luar gelanggang.

"Pantang Melayu bersilat luar gelanggang. Bersilat dalam gelanggang, biar mati dalam gelanggang, itulah sikap Melayu yang sebenar," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS