PAU2025 | Ketua Puteri Umno Sabah, Ummi Nabilah Jamal menegaskan hanya seorang daripada lima calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya negeri Sabah tahun lalu hilang wang deposit.
Ummi berkata lima calon tersebut hanya mewakili 11 peratus daripada 45 calon Umno Sabah, justeru dia mengulangi gesaanPuteri Umno agar kuota 30 peratus diberikan kepada calon wanita.
“Calon lelaki 40 kerusi, 11 hilang deposit (35 peratus). Ini membuktikan bahawa calon perempuan boleh menang mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi di pusat, negeri dan di bahagian,” katanya.
Ummi Nabilah berkata, calon daripada sayap Wanita dan Puteri Umno kekal sebagai “calon boleh menang” sekiranya mendapat sokongan menyeluruh daripada parti.
“Tapi mohonlah memberi bukan sekadar meletak sahaja untuk menyedapkan hati seperti melepaskan batuk di tangga, namun berikan kawasan yang betul-betul boleh menyumbang kepada kemenangan yang berasaskan kekuatan calon dan parti,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Ummi Nabilah menegaskan wanita membentuk lebih separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi.
“Kami adalah penentu utama dalam setiap pilihan raya, dan calon perempuan boleh menarik sokongan mereka dengan lebih berkesan kerana memahami isu-isu keluarga, wanita, dan masa depan secara mendalam,” tambahnya.
Pada Khamis lalu, Setiausaha Puteri Umno Sabah, Laiji Ompongoh, ketika perhimpunan agung sayap itu, mengingatkan kepimpinan parti supaya tidak menjadikan kekalahannya di kerusi DUN Nabawan sebagai alasan untuk menafikan peluang kepada ahli Puteri Umno yang lain.
Laiji, yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Pensiangan, menegaskan bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah tidak wajar dijadikan penanda aras untuk menilai keupayaan calon Puteri Umno di negeri-negeri lain.
