Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nak kembali pada Umno mesti ada 'password' - Perwakilan Melaka

PAU2025 | Seorang perwakilan daripada Umno Melaka menggesa kepimpinan parti supaya berhati-hati dalam membuka pintu kepada bekas ahli parti.

Mustafa Musa berkata, walaupun dia menyokong langkah Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi mempelawa bekas pemimpin Umno yang dipecat atau digantung kembali semula kepada parti itu, namun perlu ‘syarat’ tertentu.

"Datuk Seri Presiden, bukalah pintu seluas-luasnya , tak cukup pintu bukalah tingkap seluas-luasnya.

"Tak cukup tingkap bukalah atap seluas-luasnya, boleh masuk dari pintu, dari tingkap, yang biasa tebuk atas boleh masuk dari atap.

"Tapi Datuk Seri, saya rasa perwakilan setuju, walaupun kita buka tetapi dalam satu keadaan mesti ada password, betul?

“Mesti ada apa? Password. Mesti ada kata laluan, mesti ada syarat. Betul?" soalnya kepada perwakilan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Mustafa merujuk kepada jemputan Zahid kepada bekas pemimpin parti itu untuk kembali semula menyertai Umno bagi memperkukuhkan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah itu berkata, Umno perlu berwaspada dalam menerima semula individu tertentu, khususnya mereka yang pernah mengkhianati parti.

"Orang macam ni kena tapis, sebab kita takut nanti bawa padah,” katanya.

‘Umno perlu kekal dalam kerajaan’

Sementara itu, perwakilan Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi mempertahankan keputusan kepimpinan parti untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Dia berkata, Umno memainkan peranan penting bagi memastikan prinsip semak dan imbang dalam kerajaan, khususnya dalam mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

"Umno ada peranan yang sangat besar, sebab itu pentingnya Umno berada dalam kerajaan.

"Lihat sahaja isu seperti URA, UEC, pilihan raya PBT, siapa yang membantah kalau bukan kepimpinan dari Umno? Siapa yang perkenal dasar yang baik untuk anak-anak Melayu Islam kita?” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS