Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan kepercayaan kepada Umno dengan memperuntukkan lapan jawatan dalam Kabinet, satu keputusan yang menurut Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi didorong oleh rasa sayang terhadap parti berkenaan.
Zahid berkata Anwar merupakan pemimpin yang lahir daripada DNA Umno, justeru memahami sejarah, peranan serta kedudukan parti itu dalam landskap politik negara.
Dia turut mendakwa Anwar berdepan tekanan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan sebahagian pihak dalam parti itu berpandangan bahawa Presiden PKR tersebut terlalu tunduk kepada Umno.
"Dalam PKR mereka tuduh perdana menteri tunduk kepada tekanan Umno, kita (Umno) tak pernah tekan dan tak pernah suruh perdana menteri turun.

"Bayangkan Umno ada 26 kerusi rakan BN empat kerusi, berapa kerusi menteri kita dapat? Lapan.
"Jadi saya nak bagi tahu para perwakilan sekalian, perdana menteri cukup sayang kepada kita pada semua.
"DNA beliau DNA Umno takkan kita anggap segala permintaan kita dipenuhi (beliau) mustahil...tapi perdana menteri cuba penuhi perminat kita dengan pembahagian ditentukan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulangan Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur petang ini.
Mengulas lanjut, Zahid berkata Anwar juga memberi kepercayaan kepada Umno untuk melaksanakan agenda bumiputera.
Bahkan katanya, apa yang dilakukan Umno berhubung agenda bumiputera tidak dibantah oleh pemimpin DAP dalam kerajaan.
Malah, Zahid turut mengumumkan yang dia diberi kepercayaan untuk menjadi menteri bertanggungjawab terhadap Felda.
"Saya dapat surat daripada perdana menteri semalam yang menyebutkan tanggungjawab baru saya sebagai menteri yang menjaga Felda dan FGV dengan rasminya," katanya.
