Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai ‘Iqbal’ dalam satu operasi khas semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata operasi hasil risikan dan maklumat awam itu tertumpu di sebuah premis yang dijadikan ‘rumah penampungan’ untuk warga asing yang dibawa masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.
Katanya premis berkenaan terletak di lokasi terpencil di kawasan kampung dan sukar dikesan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Menurut Zakaria, ia juga dijadikan markas transit bagi menempatkan migran yang baru menyeludup masuk.
“Hasil serbuan membawa kepada penahanan 12 warga Bangladesh terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.
“Turut ditahan ialah seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya berumur 27 tahun yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan itu,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.
Zakaria menambah, siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit memasuki negara ini sejak tiga hari lalu melalui ‘jalan tikus’ (laluan darat yang tidak diwartakan) di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.
Dia berkata migran berkenaan ditempatkan di premis terbabit sementara menunggu baki bayaran kemasukan masing-masing dilunaskan sebelum dihantar ke lokasi seterusnya.
“JIM sedang giat mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan pihak sindiket dengan menyewakan serta membenarkan premis mereka dijadikan pusat transit aktiviti penyeludupan migran,” katanya.
Dia berkata individu berkenaan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Zakaria berkata risikan lanjut mendapati sindiket itu aktif beroperasi sejak awal 2024 dan mempunyai rangkaian ejen pengatur di negara asal. Seorang warga Bangladesh yang dikenali sebagai Iqbal pula menjadi dalangnya dan dipercayai beroperasi dari Thailand.
“Sindiket mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu. Keuntungan keseluruhan yang diraih daripada aktiviti haram itu dianggarkan mencecah RM1.5 juta,” katanya.
Zakaria berkata operasi itu turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan Garis Panduan Kebangsaan mengenai Petunjuk Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
“JIM telah memulakan siasatan lanjut bagi meneliti kesalahan di bawah Akta 670,” katanya.
- Bernama
