Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke tegur Tok Mat: DAP tak terbabit isu Khazanah, Tabung Haji

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan parti itu tidak terlibat dalam penjualan aset kerajaan – apa lagi yang membabitkan Khazanah Nasional Berhad dan Tabung Haji – semasa pentadbiran Pakatan Harapan antara 2018 hingga 2020.

Loke berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semalam, yang membayangkan DAP bertanggungjawab atas penjualan saham IHH Healthcare Bhd milik Khazanah serta sebidang tanah di Kuala Lumpur yang dimiliki Tabung Haji.

“Tak ada wakil DAP dalam lembaga pengarah Khazanah, (memang) menteri kewangan DAP (Lim Guan Eng) tapi tak dilantik duduk.

"Pengerusi Khazanah (ketika itu) Tun Mahathir, menteri yang dilantik duduk ialah menteri ekonomi, Azmin Ali, yang duduk dalam Khazanah tak ada wakil DAP.

“Apa-apa keputusan Khazanah kenapa salahkan DAP,” soal Loke ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor di Klang hari ini.

Semalam, Mohamad berkata keputusan parti itu untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan merupakan strategi bagi mengelakkan berulangnya 'Pakatan Harapan 1.0'.

"Maka bersoraklah mereka jika kita buat begitu (keluar kerajaan). Ini pun yang mereka nak, maka berulanglah kembali kerajaan PH 1.0, di mana mereka dengan sewenang-wenangnya buat apa saja mereka suka kerana tak ada suara yang akan membantah, membangkang apa juga mereka lakukan," katanya.

Mohamad merujuk kepada beberapa insiden yang didakwa berlaku akibat Pakatan Harapan menerajui kerajaan tanpa campur tangan Umno.

Antaranya termasuk penjualan beberapa aset strategik kerajaan, termasuk pegangan Khazanah Nasional dalam IHH Healthcare Bhd serta sebidang tanah di Kuala Lumpur milik Tabung Haji.

Walaupun ahli parlimen Rembau itu tidak menamakan sesiapa, dia dipercayai merujuk kepada DAP.

Mohamad mendakwa IHH dijual bukan demi keuntungan, sebaliknya kerana syarikat tersebut ditubuhkan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada pakar perubatan Melayu.

Mengulas dakwaan Mohamad berhubung Tabung Haji, Loke sekali lagi menegaskan DAP tidak mempunyai sebarang peranan dalam pengurusan dana jemaah haji itu.

“Tabung Haji sudah tentu bukan dipegang atau wakil DAP, sudah tentu (kalau betul) riuh rendah ketika itu," kata Loke berseloroh.

‘Guan Eng suntik dana Tabung Haji’

Menteri pengangkutan itu turut memuji penasihat nasional DAP Lim Guan Eng, yang merupakan menteri kewangan ketika itu, atas usahanya “menyuntik dana untuk menyelamatkan” Tabung Haji.

Loke menegaskan timbalan presiden Umno tidak berbahas secara matang dan berasaskan fakta.

“Timbalan presiden Umno cakap perlu terus dalam kerajaan (supaya) tidak kembali ke PH 1.0.

"Dia bagi beberapa contoh, kalau pergi balik, hospital dijual, hospital yang dimiliki Khazanah dijual kepada syarikat bukan bumiputera, tanah Tabung Haji dilepaskan dijual.

“Seolah semua keputusan (DAP)...Kita berpolitik kena secara matang, berhujah kena secara fakta, (dakwaan) ini tak betul," jelasnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS