Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Namewee mengaku tak salah miliki  ubat mati pucuk sildenafil

Penyanyi dan penulis lagu kontroversi, Namewee, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini atas dakwaan memiliki 0.78g Sildenafil, iaitu ubat untuk kegagalan fungsi ereksi.

Mengikut kertas pertuduhan, penyanyi yang nama sebenarnya Wee Meng Chee itu dituduh memiliki dadah berkenaan di sebuah hotel di Jalan Conlay, dalam kawasan Dang Wangi pada 22 Oktober 2025 kira-kira jam 4.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 9(1) Akta Racun melarang sesiapa sahaja, sama ada berlesen atau tidak, daripada menjual, membekal, menyimpan atau memiliki sebarang racun, kecuali mengikut peraturan ketat akta tersebut mengenai pembungkusan, pelabelan dan penyimpanan.

Dia memohon dibicarakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamed Saim, yang kemudiannya menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala Wee diwakili peguam Joshua Tay.

Dalam prosiding sama, Wee juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki 1.57g methamphetamine di lokasi dan masa yang sama.

Namewee ditangkap pada 22 Oktober tahun lalu selepas dia ditemukan dengan sembilan biji pil disyaki ekstasi dalam bilik hotel di Kuala Lumpur, lokasi di mana seorang pempengaruh Taiwan meninggal dunia.

Dia kemudiannya didakwa dua hari selepas itu atas satu pertuduhan memiliki 5.12g ekstasi dan satu pertuduhan memasukkan amphetamine, methamphetamine, tetrahydrocannabinol, dan ketamine ke dalam badan, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.

Bagaimanapun, mahkamah membebaskan dia pada 22 Disember daripada dua pertuduhan tersebut susulan keputusan ujian urin yang negatif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS