Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM reman bekas eksekutif bank disyaki terlibat rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang bekas eksekutif bank kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM7,000, dua tahun lepas.

Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai meminta suapan tersebut sebagai balasan membantu mendapatkan pembiayaan pembelian dron kepada pemohon skim pembelian tersebut.

Sumber itu berkata suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan pada kira-kira 4 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Siasatan awal mempercayai suspek melakukan perbuatan tersebut pada 2024. Suspek disyaki menerima rasuah melalui transaksi pemindahan wang dalam talian ke akaun peribadinya, dengan menerima rasuah antara RM1,000 hingga RM2,300 bagi setiap permohonan,” kata sumber itu.

Perintah reman selama lima hari sehingga 23 Jan ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah, selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret di Alor Setar, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Sekyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS